‘Kalau orang rasa saya hina FAM, saya minta maaf’ – Jurulatih negara Cklamovski kata kenyataannya disalahertikan
KUALA LUMPUR, 13 Okt — Jurulatih kepala negara, Peter Cklamovski, menjelaskan dia langsung tidak berniat untuk menghina Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas dikritik atas kenyataannya baru-baru ini yang buat peminat dan bekas pemain tak puas hati.
Jurulatih dari Australia itu kata, kenyataannya cuma berdasarkan kenyataan umum FAM sendiri dan mungkin ada yang tersilap faham.
Walaubagaimanapun, Cklamovski memohon maaf jika ada yang tersinggung.
“Saya langsung tak berniat nak hina FAM. Sebenarnya, saya cuma ulang semula apa yang mereka sendiri dah sebut. FAM dah keluarkan kenyataan media minggu lepas. Saya cuma ikut kenyataan itu. Saya pun tak tahu lebih dari itu.
“Kalau ada yang rasa saya kurang ajar dengan FAM, saya minta maaf. Tapi itu bukan niat saya, dan saya sememangnya tak cakap apa-apa yang baru pun,” katanya dalam sidang media sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.
Cklamovski menarik perhatian ramai baru-baru ini bila dia mengulas tentang isu antara FIFA dan FAM mengenai pendaftaran tujuh pemain warisan negara.
Kenyataannya itu, yang dibuat selepas perlawanan menentang Laos di Vientiane hari Khamis lepas, dianggap oleh sesetengah pihak seolah-olah menyalahkan FAM atas situasi itu, sekali gus buatkan ramai tak selesa.
Walaupun kontroversi itu berlaku, Cklamovski kata fokus dia sekarang ialah sediakan Harimau Malaya untuk beraksi sebaik mungkin, bukan nak fokus hal-hal pentadbiran.
“Kami langsung tak fikir pun pasal tu. Kami fokus pada tugas sebagai pasukan negara – latihan kuat, main elok, dan menang. Tu je yang saya boleh kawal,” kata jurulatih berusia 47 tahun itu sambil menekankan bahawa Tunku Mahkota Ismail sangat penting dalam kemajuan pasukan kebangsaan.
Bila ditanya betapa sukarnya nak bina pasukan tanpa tujuh pemain warisan yang digantung FIFA, dia kata skuad kebangsaan kena sentiasa ada mentaliti berpasukan, tak kira siapa yang main.
“Kami tak harap pada satu pemain je. Itu fokus kami, dan saya akan terus tekankan yang sama sebab itu cara kami berlatih. Itu yang kami percaya. Sesiapa yang di padang, 11 pemain tu akan buat tugas mereka dan tahu apa yang perlu dibuat. Sesiapa yang masuk sebagai pengganti pun akan buat perkara yang sama,” jelasnya.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA kerana didapati melanggar Perkara 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam satu kenyataan, FIFA kata FAM telah hantar dokumen dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain-pemain itu, yang membolehkan mereka bermain dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Fokus kekalkan momentum
Mengenai perlawanan malam esok, Cklamovski kata pasukannya kekal fokus untuk teruskan momentum hebat selepas menang 3-0 ke atas lawan yang sama minggu lepas.
“Kami buat persiapan yang rapi dan ada satu hari lagi untuk latihan terakhir. Proses ini berterusan dan kami tak sabar untuk laksana aksi berpasukan sekali lagi, berusaha untuk dapat satu lagi kemenangan, dan berusaha untuk buat negara bangkit,” katanya.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan enam mata, Laos di tempat ketiga dengan tiga mata, dan Nepal di tangga terbawah tanpa mata.