Nubhan ceraikan isteri, hadir mahkamah syariah esok - Peguam
SEPANG - [DIKEMAS KINI] Penyanyi Nubhan dijangka hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis bagi mengesahkan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Afifah Hidayah yang juga doktor gigi berkata, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, dan anak guamnya akan hadir bagi prosiding berkenaan.
“Mahkamah akan menentukan sama ada berlaku lafaz cerai yang dikatakan dibuat dua bulan lalu.
"Mahkamah juga akan mendengar punca berlakunya lafaz tersebut dan fakta terlibat akan dimaklumkan semasa prosiding berlangsung," katanya.
Nubhan dan Afifah Hidayah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dengan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8; Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille, 3.